Ekslusif! SPRM nafi tarik balik dua kes rasuah Guan Eng

Kes pendakwaan tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menafikan dakwaan kononnya akan menarik balik dua pertuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seperti dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.


Dalam satu kenyataan, SPRM menjelaskan bahawa badan itu tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan demikian bagi mana-mana kes pendakwaan.

Sebaliknya, suruhanjaya itu berkata, tindakan penarikan kes hanya tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya akan menarik balik dua pertuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara seumpama itu bagi mana-mana kes pendakwaan sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan dakwaan bahawa SPRM akan menarik balik dua pertuduhan kes rasuah terhadap Guan Eng.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, untuk mendapatkan kepentingan kepada diri sendiri dan isterinya dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd bagi menukar tanah pertanian menjadi tanah kediaman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, yang berada di bawah nilai pasaran hartanah berjumlah RM4.27 juta.

Artikel Asal : https://www.ismaweb.net/2018/07/25/sprm1-nafi-tarik-balik-dua-kes-rasuah-guan-eng/

0 Response to "Ekslusif! SPRM nafi tarik balik dua kes rasuah Guan Eng"

Posting Komentar